Selesai membaca Opera Angkasa

Di celah-celah kesibukan beberapa hari lalu, saya sempat mencuri masa menghabiskan Opera Angkasa. Kebetulan saya jatuh sakit selama 2 hari. Langsung tidak boleh buat kerja, memandang komputer pun mata berpinar kerana vertigo. Terbaring sahaja di atas katil. Terasa sungguh helpless ! Mujur diri sihat kembali ke sedia kala, walaupun tidak 100%, semasa menghadapi kertas peperiksaan terakhir semester pada Ahad lalu.
Opera Angkasa menjadi terapi diri, di kala mata boleh dibuka untuk membaca. Itupun untuk tempoh yang amat sekejap. Kurang dari 10 minit, diselang-selikan dengan membaca nota kuliah. Novel ini, sebagaimana judulnya, menghidangkan kisah pengembaraan angkasa lepas ala fantasi sains. Membacanya mengingatkan saya kepada filem Serenity dan Star Wars. Ada beberapa babak dari kedua-dua filem ini yang diasimilasikan oleh penulis.
Secara keseluruhan, Opera Angkasa ternyata menghiburkan. Plot bergerak dengan pantas, digarap dengan bahasa yang santai, dan amat mudah diikuti. Kebetulan novel ini pun memang disasarkan kepada pembaca golongan remaja, maka amat sesuai ceritanya diolah sedemikan rupa.
Cuma saya sedikit terkilan dengan beberapa kesilapan ejaan. Haah! Kepada yang mengenali perangai saya ini, pasti anda berkata, “asyik nak semak ejaan aje!”. Memang saya mementingkan aspek ini, apatah lagi kerana saya berniat menghadiahkan novel ini kepada anak saudara di Johor. Saya dapati generasi sekarang sering terkeliru dengan penggunaan kata ‘di‘ untuk kata kerja, dan ‘di‘ yang digabungkan dengan objek ataupun tempat. Memandangkan anak saudara saya pun masih lagi belajar di sekolah menengah, saya kira perkara ini amat mustahak diberikan perhatian, supaya dia tidak terkeliru kelak. Dalam pada itu, Puan Ainon Mohd. sendiri memang sering menyatakan pendirian PTS dalam memandaikan bangsa, dan beliau amat mementingkan Bahasa Melayu Tinggi. Opera Angkasa yang saya beli baru-baru ini merupakan cetakan kedua. Oleh itu, bagaimanakah editor boleh terlepas pandang dari membuat penambahbaikan?
Insya Allah saya akan mengulasnya lebih lanjut nanti, dan mungkin sedikit sebanyak ulasan itu akan dibuat bersama Galaksi Muhsinin, sama ada secara perbandingan, ataupun secara berasingan.
Melihatkan minat saya membaca novel fantasi dan fiksyen sains, Puan Saridah Hamid mencadangkan pula novel Opera Angkasa. Ah! Tanpa berfikir panjang saya sambar juga novel tersebut. Sementelah mendapat diskaun dari tauke gerai pula. Hai, entah bilalah boleh saya menjamah kesemua buku ini. Buku-buku lain yang telah lama dibeli dan tersimpan di rak sudah berderet melambai-lambai minta dibuka. Hati ini semakin digaru-garu, tergoda hendak membaca kesemuanya sekarang juga. Eh! Tak boleh! Tak boleh! Sabar dulu! Ya Allah! Kuatkanlah benteng pertahanan hambamu yang lemah ini, ya Allah!


